KUALA LUMPUR – Kontroversi percintaannya dengan Emma Maembong menjadi parah disebabkan Zahirah MacWilson, kata pelakon Kamal Adli.

Menerangkan mengenai perkara itu, Kamal mendakwa, Zahirah cuba menikam dari belakang sedangkan perkara itu sudah diselesaikan secara baik sebelum ia dilaporkan media.

“Saya keluar bersamanya (Zahirah) bersama dua lagi rakan kami. Ia merupakan kesalahan saya dan saya sudah terangkan kepada Emma dan Zul.

“Tetapi yang peliknya ketika pertemuan kali ketiga dengan kehadiran Emma dan Zul, dia tiba-tiba memutar belit kenyataan sehingga saya sendiri terkejut.

“Anda bayangkanlah bagaimana Emma tak marah dan mula berprasangka buruk terhadap saya? Dari situ hubungan kami bermasalah dan sehinggalah Emma keluarkan kenyataan tentang hubungan kami,” jelas Kamal kepada sebuah laman portal hiburan.

Bagaimanapun Kamal mengakuui beliau tidak menyalahkan Emma yang mengatakan hubungan mereka telah putus kerana aktres itu berada dalam situasi marah.

Ingin meletakkan noktah kepada kontroversi melanda dirinya, Kamal secara terbuka memohon maaf atas apa yang berlaku.

Sementara itu, Zahirah menganggap kenyataan pelakon itu hanya untuk menyelamatkan diri.

Katanya, dia tidak gentar dan mempunyai bukti yang cukup berkaitan tuduhan aktor tersebut.

“Hi, semuanya berada dalam keadaan baik Alhamdulillah. Saya sudah tahu tentang kenyataan itu dan tidak mengapa.

“Bukti semua sudah ada, dia boleh bercakap apa yang dia mahu. Dah petik nama orang, dia perlu selamatkan diri dia juga,” ujarnya menerusi Instagram.

Dalam pada itu, Zahirah yang kini berada di Bosnia berharap orang ramai dan netizen tidak menyebelahi mana-mana pihak sehingga menyebabkan pergaduhan di laman sosial. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2017/10/25/emma-maembong-sahkan-putus-dengan-kamal-adli/

http://malaysiagazette.com/blog/2017/10/25/zahirah-harap-doa-peminat-kuatkan-semangatnya/