Hamzah Zainuddin.

KUALA LUMPUR – Semua badan bukan kerajaan (NGO) diminta agar tidak membelakangkan undang-undang dalam memperjuangkan hak golongan pengguna.

Perkara itu ditegaskan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurut Hamzah, NGO boleh memperjuangkan hak kepenggunaan asalkan apa yang mereka lakukan mengikut undang-undang dan dengan cara yang betul.

“Kalau ada NGO yang nak wakili pengguna yang kononnya perjuangkan hak pengguna, mereka kena bertindak mengikut cara betul kerana negara ini mempunyai undang-undang,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis di Kepala Batas, lapor sebuah laman portal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan dua pegawai Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini.

Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khasnya, Ali Salimin diminta menyerah diri di IPD Kajang bagi membantu siasatan kes pencerobohan premis sebuah syarikat pajak kereta Julai lalu.

Mereka kemudiannya didakwa di mahkamah dan dibebaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang sementara menunggu sebutan semula kes itu pada 24 November depan.

Sebelum ini, perkara sama turut dibangkitkan Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA) apabila menasihatkan PPIM supaya menggunakan pendekatan yang lebih harmoni dalam menangani sesuatu isu tanpa perlu berlagak ‘samseng’.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah turut mengkategorikan sikap NGO pada hari ini dengan tiga kelompok iaitu NGO terpelajar, NGO baru nak belajar dan NGO kurang ajar. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2017/10/26/ppim-jangan-lagak-samseng-ridzuan/