KUALA LUMPUR – Bantuan Pesawah Sebelum Menuai sebanyak RM200 sebulan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menerusi Bajet 2018 Jumaat lalu tidak dapat menyelesaikan masalah utama industri padi dan beras.

Pendirian itu disuarakan Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (PADI RESCUE).

Setiausaha dan Koordinator Padi Rescue, Nur Fitri Amir Muhammad tidak menyangkal bantuan itu pasti akan menambahkan pendapatan mereka namun isu utama masih belum dapat ditangani.

“Kami khuatiri kos-kos lain pasti akan naik apabila tiada kawalan terhadap industri oleh badan berkuasa  seperti Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN),

“Kenaikkan kos tanpa kawalan seiring kenaikkan harga padi akhirnya menyebabkan petani tidak merasa apa-apa kelegaan,” jelas Nur Fitri Amir.

Justeru Padi Rescue meletakkan harapan agar permohonan mereka untuk mengembalikan LPN yang bebas kuasa komersil.

Ini kerana syarikat persendirian Beras Nasional (BERNAS) merupakan entiti perniagaan yang tidak cenderung kepada rantaian bekalan beras.

“Tidak ada gunanya peruntukan yang besar tetapi akhirnya hanya akan disedut kartel-kartel pertanian yang mencekik pesawah dengan kenaikan kos bertani dan potongan pemutuan padi yang tinggi,”tambah Nur Fitri Amir dalam sidang di ibu negara.

Jelasnya, permohonan itu telah dibuat melalui memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri pada 20 Oktober lalu.

Melalui memorandum itu 14 tuntutan dikemukakan termasuk bantuan pesawah sebelum menuai namun tuntutan utama Padi Rescue dipandang sepi.

Nur Fitri Amir berharap agar isu ini tidak diperlecehkan kerana bimbang sekiranya berterusan akan membuat pesawah tidak bermotivasi untuk mengerjakan sawah padi. – Malaysia Gazette