JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia menahan pemilik kilang mercun dan pengurusnya kerana disyaki cuai, selepas letupan dan kebakaran di gudang di pinggir ibu kota negara itu, meragut 48 nyawa dan mencederakan puluhan lagi.

Kebakaran di kilang di Tangerang itu antara bencana industri paling buruk pernah melanda ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Polis berkata, kebakaran bermula apabila percikan daripada operasi kimpalan membakar timbunan bahan yang digunakan untuk menghasilkan mercun, menyebabkan sekurang-kurangnya dua letupan yang kedengaran beberapa kilometer.

“Kedua-dua lelaki itu disyaki cuai yang membawa kepada kematian,” kata jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono.

Pemilik kilang PT Panca Buana Cahaya Sukses dan pengurus operasinya ditahan manakala polis masih memburu jurukimpal.

Pemilik juga disyaki mengupah pekerja bawah umur, kata polis.

Siasatan awal dan keterangan saksi menunjukkan lebih 30 mangsa ditemui di belakang kilang berkenaan, ketika cuba menyelamatkan diri manakala yang lain cuba memecahkan lubang pada dinding untuk melarikan diri.

Polis menafikan laporan pintu pagar depan dan satu-satunya jalan keluar dari kilang itu dikunci ketika kebakaran. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2017/10/26/indonesia-kilang-mercun-meletup-lebih-20-pekerja-maut/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast