Seorang pengamal perubatan Islam disyaki mencabul seorang wanita yang sedang mendapatkan rawatan.
JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang wanita Rabu lepas yang dipercayai melacurkan dua anak perempuannya yang berumur lapan dan 10 tahun kepada tiga lelaki asing di sebuah hotel bajet di bandar raya ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata wanita berumur 39 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Bintang, Senai.

“Wanita itu disyaki melakukan kegiatan itu sejak sebulan lepas. Dia disyaki ‘menjual’ kedua-dua anak perempuannya dengan membawa mereka ke hotel terbabit setiap Jumaat dan meninggalkan mangsa di hotel bersama tiga lelaki itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata wanita berkenaan yang merupakan ibu tunggal dipercayai menerima bayaran berjumlah RM50 setiap kali menjalankan urus niaga berkenaan.

Mohd Khalil Kader berkata kedua-dua mangsa sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya ketiga-tiga warga asing itu kini sedang diburu polis.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 dan 372 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA