PUTRAJAYA – Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata siasatan lanjut terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dilakukan berikutan kekurangan bukti dalam beberapa perkara tertentu.

Beliau berkata kertas siasatan berkaitan 1MDB sentiasa dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), bagaimanapun, terdapat kekurangan bukti dalam beberapa perkara tertentu.

“Apabila kertas siasatan dirujuk kepada kami, kami akan menelitinya. Kami dapati wujud kekurangan bukti. Jadi, kami arahkan supaya siasatan dilakukan dalam beberapa perkara tertentu. Saya tidak dapat mendedahkan perkara itu. Siasatan masih dijalankan.

“Antara 20 hingga 25 peratus daripada kertas siasatan perlu dikaji semula,”katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Apandi telah mengarahkan supaya siasatan lanjut berkaitan 1MDB dijalankan dan sebarang butiran berkaitan kes itu tidak boleh didedahkan oleh kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis selain menyebabkan prejudis kepada kes itu.-BERNAMA