SINGAPURA – AirAsia Bhd. merancang untuk menjual lebih banyak pegangan dalam perniagaan bukan penerbangan bagi membiayai dividen khas kepada pemegang saham, kata syarikat penerbangan tersebut selepas mengumumkan usahasama pengendalian di darat (ground handling) dengan SATS Ltd. dari Singapura.
Syarikat penerbangan tambang murah itu menjangkakan hasil sebanyak S$119.3 juta daripada urusniaga dengan SATS yang melibatkan penjualan sebahagian atau semua sayap pajakan pesawatnya serta baki 25 peratus pegangan dalam Expedia Inc., kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes.
Syarikat tersebut turut mempertimbang penjualan pegangan dalam perniagaan makanan, kejuruteraa dan bebas cukai pada masa hadapan meskipun masih tiada rundingan dimulakan setakat ini.
“Kami akan memberikan dividen khas daripada hasil tersebut.
“Terdapat satu pelan menyeluruh mengenai aset berkenaan. Kami akan mengadakan usahasama dan akhirnya menjual kesemua usahasama tersebut.
“Perniagaan-perniagaan tersebut bukan teras,” katanya kepada Reuters selepas sidang media berhubung urusniaga dengan SATS.
AirAsia mendapat AS$100 juta daripada penjualan 50 peratus pegangan dalam akademi penerbangan, Asian Aviation Center of Excellence kepada CAE International Holdings Ltd pada Ogos lalu.
Tony berharap ia boleh menyelesaikan penjualan perniagaan pajakan yang bernilai AS$900 juta menjelang akhir tahun ini.- MalaysiaGazette