PETALING JAYA – Jenazah Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kiara, Petaling Jaya kira-kira pukul 10 malam tadi.
Jenazah yang diiringi ahli keluarga, kenalan rapat serta individu yang mengenali Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia itu daripada Masjid At Taqwa ke tanah perkuburan.
Terdahulu, beberapa tokoh korporat dan politik memberi penghormatan terakhir kepada beliau di Masjid At Taqwa sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Antara yang kelihatan, bekas Menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, dan bekas Menteri Kebudayaan dan Komunikasi, Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Dalam kalangan tokoh-tokoh korporat, Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim digelar pelopor pejuang jihad ekonomi di negara ini.
Muhammad Ali Hashim meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara kerana kanser sebentar tadi.
Muhammad Ali adalah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) selama 28 tahun -MalaysiaGazette