Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Bajet Altenatif yang dibentangkan gabungan pembangkang pada Rabu lalu, boleh berubah-ubah mengikut keperluan rakyat.

Katanya, semua peruntukan dalam bajet pembangkang itu akan diselaraskan semula mengikut kehendak rakyat sekiranya PH berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

“Kita sudah mendapat banyak maklum balas berkenaan dengan bajet kami dan yakin PH akan menimbang pendapat ini kerana kita perlu tunaikan kehendak rakyat bukan kehendak parti.

“Saya yakin mungkin akan ada perubahan tertentu dalam Bajet PH supaya lebih sesuai dengan kehendak rakyat,” katanya dalam satu video yang dikeluarkan Parti Pribumi Bersatu Malasyia (PPBM) dalam facebook rasminya.

Ujarnya lagi, perbentangan bajet PH oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bertujuan  mendapatkan maklum balas daripada rakyat samada bajet altenatif ini sama ada diterima rakyat atau tidak.

Rabu lalu, gabungan pembangkang yang terdiri daripada PPBM, DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) membentangkan Belanjawan Alternatif dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM258.52 bilion, selain mencadang untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan tol.

Daripada jumlah tersebut, pembangkang memperuntukkan RM200.16 bilion untuk tujuan mengurus dan RM58.35 bilion belanja pembangunan.

PH antara lain menggariskan beberapa langkah untuk mendapatkan semula hasil akibat daripada penghapusan GST, yang mana sebanyak RM42 bilion pendapatan negara akan disumbang melalui hasil cukai percukaian tersebut.

Antaranya, pembangkang berkata mereka akan bergantung kepada Cukai Pendapatan Syarikat (CITA), meningkatkan duti import serta eksais dan bergantung kepada Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT).

Selain itu, pembangkang juga mendakwa mereka akan menghapuskan rasuah dan dengan itu mereka dapat mengelakkan pembaziran yang dianggarkan RM20 bilion daripada ketirisan yang berlaku.

Semua jalan bertol di Malaysia juga bakal dimansuhkan dengan pembangkang akan membeli balik konsesi diberikan kerana ia adalah lebih kos efektif. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.