Datuk Seri ketika ditahan untuk siasatan dakwaan memukul anggota Rela.
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ direman empat hari bermula hari ini berhubung kejadian pukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ketika sedang bertugas di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, Jumaat lalu.

Perintah reman sehingga 3 Nov itu dikeluarkan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali di Mahkamah Majistret Ampang di sini selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman lelaki berusia 29 tahun itu.

Lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Terdahulu, lelaki itu yang memakai kemeja putih, tiba di Mahkamah Ampang pada 9.30 pagi dan pada 10.50 pagi, dia diiiringi anggota polis ke kamar mahkamah untuk prosiding reman.

‘Datuk Seri’ itu ditahan pada jam 4 petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi, tiga anggota RELA masing-masing berumur 19, 27, dan 21 tahun mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu.

Mangsa mendakwa kejadian berlaku hanya kerana mereka meminta ‘Datuk Seri’ itu untuk mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.

— BERNAMA