KUALA LUMPUR – Pengendali Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) memberi alasan faktor lokasi yang tak strategik menyebabkan beberapa kedai itu terpaksa ditutup.

Menteri perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, punca masalah itu dimaklumkan oleh pengendali sendiri semasa perbincangan dengan kementerian.

“Ini semua telah kita bincang dan apabila perbincangan ini dibuat setahun yang sudah, mereka tak mampu lagi.

“Di kawasan pedalaman, sudah 8 (kedai) mereka tutup kerana kos terlampau tinggi.

“Pertama, mereka katakan lokasi KR1M yang tak strategik di luar bandar jauh ke pedalaman, kosnya terlalu tinggi. Ini yang menyebabkan mereka agak tertekan,” katanya pada sesi soal di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) yang bertanyakan bila KR1M 2.0 akan beroperasi semula.

Oleh itu, kerajaan mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi mengurangkan kos kedai tersebut.

“Strategi kita adalah untuk bincangkan perkara ini bukan hanya dengan 1 atau 2 operator, tapi yang kita lakukan untuk bergabung dengan Strategi Lautan Biru bersama banyak syarikat besar seperti industri kecil dan sederhana serta syarikat multinasional.

“Semua ini kita lakukan untuk mengurangkan kos barang yang dipasarkan dalam negara,” katanya lagi.

Ketika membentangkan Bajet 2018 Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan sebagai permulaan, 50 KR1M akan distruktur semula menjadi KR1M 2.0 mulai 2018 sebelum diperluaskan kepada 3,000 kedai dalam tempoh 3 tahun.

Datuk Seri Najib Razak berkata, KR1M 2.0 akan menyediakan lima barang keperluan asas pada harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan gas LPG.

Selain itu terdapat 50 jenis barangan pengguna berjenama akan dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran.

KR1M yang diilhamkan Najib, dirasmikan pada Jun 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat dan membantu memasarkan produk pengusaha IKS tempatan.

Pada 29 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menamatkan kontrak Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) yang mengendalikan kedai itu kerana didapati menjual barang lebih mahal.

Mydin pula mendakwa syarikat berkenaan mengalami kerugian besar ketika mengendalikan KR1M.- MalaysiaGazette