Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sistem Self Monitoring Analytics Reporting Technology (SMART) Lokap oleh pihak MIMOS Berhad kepada PDRM di Tapak Pameran NICE, Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan ujian air kencing terhadap seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang terlibat memukul tiga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) positif dadah.

Noor Rashid Ibrahim.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim memberitahu, ujian air kencing dilakukan terhadap lelaki berusia 29 tahun itu selepas hasil semakan mendapati pernah terlibat dalam kes dadah sebelum ini.

“Ujian urin menunjukkan dia positif dadah,” kata beliau.

Noor Rashid juga berkata polis masih menyiasat sama ada suspek di bawah pengaruh dadah ketika didakwa menyerang tiga anggota Rela itu Jumaat lalu.

Suspek menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang. Kes tersebut mendapat perhatian banyak pihak, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menggesanya untuk menyerah diri.

Semalam, dia direman empat hari bagi memboleh siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan bagi tuduhan menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan bagi tuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Kira-kira jam 6.30 pagi Jumaat lalu, Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, dikatakan dipukul suspek ketika bertugas di sebuah tokong di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, selepas memintanya mengalihkan kenderaan Toyota Vellfire miliknya kerana menghalang lalu lintas.

Kejadian tersebut dirakamkan menerusi kamera litar tertutup dan laporan polis dibuat di Balai Polis Ampang. – MalaysiaGazette