PUTRAJAYA, 1 Nov -– Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa (kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada Datuk Suriani Ahmad sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang baharu di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra hari ini. Pelantikan itu berkuat kuasa pada Jumaat ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA – Datuk Suriani Ahmad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang baharu menggantikan Datuk Dr Rose Lena Lazemi bermula Jumaat ini (3 Nov).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata pemilihan Suriani yang merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kawalan dan Penguatkuasaan), Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas yang dimilikinya.

“Berpengalaman dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan antarabangsa, keselamatan selain berpengalaman mengendalikan rundingan di peringkat serantau dan antarabangsa,” kata Ali dalam satu kenyataan berhubung pelantikan itu hari ini.

Suriani yang berkelulusan Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia dan Sarjana dalam bidang Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 21 Mac 1994.

Selain berkhidmat di KDN, Suriani juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertahanan dan Pengarah Dasar dan Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di Bahagian Dasar dan Penyelarasan Rundingan FTA, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast