Suu Kyi kali pertama melawat ke kawasan penindasan Rogingya di Sittwe, Rakhine hari ini. Foto: AFP

SITTWE, Myanmar – Pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi hari ini melawat kawasan penindasan etnik Rohingya di Sittwe, Rakhine.

Lawatan sulung pemenang anugerah Nobel itu sejak ratusan ribu warga Muslim Rohingya mencari perlindungan di negara lain bagi menyelamatkan diri daripada keganasan operasi tentera pada Ogos lalu.

Reuters melaporkan bahawa ribuan etnik Rohingya bertarung nyawa menyeberangi Sungai Naf untuk mencari perlindungan di negara jiran, Bangladesh.

Sebahagian daripada mereka menaiki bot kecil untuk ke Bangladesh yang menyediakan penempatan sementara.

Namun majoritinya dikatakan berjalan ratusan kilometer untuk melarikan diri daripada kezaliman tentera Myanmar.

Lebih 4,000 orang dilaporkan menyeberangi beberapa sungai pada Rabu lepas, kata Pegawai keselamatan Bangladesh, Mejar Mohammed Iqbal di daerah Bazar Gox hari ini.

Suu Kyi tiba ke lokasi menggunakan helikopter tentera di Sittwe, Rakhine sekitar 9 pagi hari ini.

Beliau berdepan kecaman antarabangsa kerana tidak bertindak balas terhadap apa yang dipanggil sebagai ‘pembersihan etnik’ yang dilakukan ke atas Rohingya oleh tentera Myanmar. – MalaysiaGazette