Sulaiman Abdul Razak
SHAH ALAM – Belanjawan Selangor 2018 masih gagal memperjuangkan nasib Bumiputera apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak membentang sebarang inisiatif untuk golongan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, Mohamed Azmin tidak berani seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meneruskan inisiatif itu walaupun memimpin semua kaum.

“Menteri besar tak berani mengumumkan apa-apa inisiatif untuk Bumiputera. Perdana Menteri memimpin lagi besar (masyarakat) bukan Melayu, Cina, India saja bahkan di Sabah dan Sarawak.

“Bajet 2018 berani membentangkan agenda Bumiputera dengan jelas dalam Terajunya.

“Tapi di Selangor nampaknya tiada bajet Bumiputera, tidak menjadi keutamaan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2018 di bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Belanjawan Selangor 2018 memperuntukkan RM3.12 bilion di mana 46.8 peratus atau RM1.46 bilion merupakan Belanja Mengurus manakala Belanja Pembangunan pula ialah RM1.66 bilion atau 53.2 peratus

Pembentangan bajet itu menyaksikan penurunan sebanyak RM330 juta berbanding Belanjawan Selangor 2017 yang memperuntukkan RM3.45 bilion.

Sulaiman juga kesal apabila bajet Kerajaan Negeri Selangor itu tidak menyentuh soal dasar kesejahteraan rakyat seperti pemilikan rumah mampu milik menerusi perumahan Selangorku.

Katanya, skim rumah mampu milik itu bagaimanapun dimanipulasi oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan mengenakan kadar premium tinggi kepada pemaju perumahan hingga membebankan mereka.

“Projek rumah Selangorku dibebankan kepada pemaju-pemaju dengan mengutip premium tinggi untuk membangunkan perumahan, ini masalah utama yang tidak dilihat Menteri Besar dalam Bajet 2018.

“Dia lebih kepada hendak memenangkan hati rakyat bagi bermacam insentif, tapi mengenai soal dasar Belanjawan 2018 tidak menyentuh perkara pokok yang menjadi keperluan rakyat,” katanya.

Menyentuh soal pemberian tiga bulan bonus, Sulaiman juga berasa kesal apabila lebih 45,000 penjawat awam khususnya guru yang berkhidmat di negeri ini tidak mendapat menikmati inisiatif itu.

“Bagaimana dengan kakitangan awam yang menyumbang di Selangor, yang mendidik anak Selangor, yang tinggal di Selangor, berkhidmat di negeri ini tapi mereka tak dapat inisiatif ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette