PUTRAJAYA – Melihat kepada peruntukan yang tidak berbelah bahagi kepada kaum Melayu dan Islam di negara ini, lebih 100 badan bukan kerajaan (NGO) Islam menyatakan sokongan terhadap Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, satu memorandum setebal 15 muka surat itu diserahkan kepada Najib bagi menyokong penuh bajet yang dibentangkan minggu lepas.
“Kita menyatakan sokongan kepada agenda yang diusulkan oleh Datuk Seri Najib terutama dalam meningkatkan syiar Islam dan maqasid syariah malah usaha beliau dalam mentransformasikan bumiputera juga beberapa pendekatan tambahan yang diberikan kepada umat Islam,” katanya yang mewakili NGO lain hari ini.
Laungan “Bajet Terbaik” turut dinyatakan mereka dalam menyatakan sokongan terhadap Najib.
Antara NGO yang terlibat adalah Gerakan Harapan Belia Negara, Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Kuala Lumpur dan Selangor.
Memorandum menyokong Bajet 2018 itu diserahkan kepada Najib selaku Menteri Kewangan di lobi Pejabat Perdana Menteri sambil disaksikan lebih 150 wakil NGO-NGO.
Zambri berkata, Najib melahirkan rasa terharu terhadap sokongan yang diberikan kepada beliau dalam menggerakkan bajet tahunan itu.
“Datuk Seri Najib mengucapkan terima kasih kepada kami semua NGO yang mewakili rakyat Malaysia.
“Beliau juga sangat terharu diatas sokongan yang diberikan sebentar tadi. Saya yakin Datuk Seri akan terus memacu negara ini untuk kehadapan kerana bajet ini bukan bajet pilihan raya tapi ianya adalah untuk masa depan negara,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor, Shiella Tukiman, Bajet 2018 banyak memberi faedah kepada masyarakat khususnya golongan wanita dan ibu tunggal.
Jelasnya, peruntukan yang disalurkan secara tidak langsung dalam menangani baik kehidupan dalam menghadapi tekanan ekonomi masa kini.
“Bajet 2018 banyak memihak kepada rakyat dimana ibu-ibu tunggal dapat menambah baik kehidupan mereka dan banyak memberikan faedah kepada kami golongan wanita dan ibu tunggal,” katanya.
Dalam Bajet 2018, Najib memperuntukkan sejumlah RM90 juta kepada Program Peneraju Profesional, Skil dan Tunas yang memanfaatkan hampir 8,000 orang.
Malah RM200 juta diperuntukkan untuk MARA Graduate Employability Training Schemes.
Dalam pada itu, RM555 juta diperuntukkan untuk Program Peningkatan Keusahawanan Bumiputera yang mana RM200 juta bagi Program Keusahawanan dan Premis Perniagaan PUNB, RM200 juta untuk Program Pembangunan Keusahawanan MARA dan RM155 juta untuk program pembangunan kapasiti vendor, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) dan Skim Anjakan Usahawan. -MalaysiaGazette.