Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menggunakan kaedah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam melaksanakan penyelenggaraan dan baik pulih semua sekolah tahfiz berdaftar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memastikan semua sekolah tahfiz yang diselenggara oleh pusat Giat Mara berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.

Menurutnya, pemantauan akan dibuat oleh pihak-pihak yang mempunyai kelayakan seperti pasukan bomba dan sebagainya.

“Bukan sahaja dipantau tetapi selepas mereka siap melaksanakan pendawaian ia akan diberikan sijil oleh pihak yang boleh membuat penilaian.

“Maknanya ia bukan main buat, lepas tu tinggal, tapi akan diserahkan oleh pihak yang ada lesen dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Pertubuhan Pendidikan Sejahtera Malaysia (Pendidik) yang mempersoal kredibiliti Pusat Giat Mara selepas kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM50 juta untuk membaik pulih serta menyelenggara semua sekolah Tahfiz berdaftar di seluruh negara.

Menerusi laporan yang disiar di sebuah laman portal pro pembangakang, Pendidik turut menimbulkan persoalan sama ada pusat tahfiz akan menjadi medan latihan amali oleh pelatih di pusat yang melaksanakan kursus di bidang kemahiran itu.

Mengulas lanjut Ismail berkata, pelatih di Pusat Giat Mara mempunyai latihan dan kemahiran yang tinggi dalam melaksanakan kerja-kerja pendawaian semula ekoran pusat itu ada melaksanakan program preventif untuk perumahan di luar bandar.

Katanya, langkah kerajaan memilih Pusat Giat Mara untuk melaksanakan kerja-kerja pendawaian di pusat-pusat tahfiz adalah kerana pusat kemahiran itu tidak mengambil keuntungan seperti jika ia diserah kepada kontraktor luar.

“Apabila pelajar Giat Mara buat pendawaian semula, Giat Mara tidak mengambil keuntungan, itu bezanya.

“Kalau kita lantik kontraktor lain, kita mesti membayar kos yang saya rasa dalam kos elemen tu termasuk profit dan untung, dia takkan buat percuma,” katanya lagi.

Sambil berseloroh, Ismail berkata, perkara itu tidak perlu dibimbangi kerana pihaknya tidak akan menghantar pelajar yang baru dua minggu belajar untuk membuat pendawaian tersebut. – MalaysiaGazette