Van yang membawa Jenazah Allahyarham Ramli Abdul Majid yang hilang di Gunung Damavand lebih setahun lalu keluar dari Kompleks Kargo KLIA. - foto BERNAMA
SEPANG – Jenazah Ramli Abd Majid yang meninggal dunia ketika mendaki Gunung Damavand, Iran tahun lalu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Van yang membawa jenazah Allahyarham dilihat keluar dari Kompleks Kargo KLIA kira-kira 11.20 pagi.

Terdahulu pesawat Mahan Air penerbangan W583 yang membawa jenazah Ramli berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini, Tehran pada 10 malam tadi sebelum selamat mendarat di KLIA 10.20 pagi ini.

Jenazah difahamkan akan dibawa ke Masjid Asy Syakirin, Puchong Utama untuk disembahyangkan dan akan ke Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Puchong untuk dikebumikan selepas Zohor.

Pada 29 Okt lalu, Wisma Putra mengesahkan mayat yang ditemukan pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand, Iran, adalah Ramli, pendaki Malaysia yang dilaporkan hilang sejak 20 Nov 2016.

Ramli, 44, hilang pada November tahun lalu bersama rakannya, Syed Redzuan Syed Salim Shatri ketika berada pada ketinggian 4,200 meter Gunung Damavand.

Bagaimanapun mayat Syed Redzuan ditemukan enam hari selepas dilaporkan hilang, manakala Ramli gagal dikesan sehinggalah dijumpai setahun kemudian pada 27 Okt baru-baru ini.

— BERNAMA



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.