Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali.

KUALA LUMPUR – Kontrak Datuk Ahmad Azizi Ali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) yang berakhir pada tahun ini akan dilanjutkan dua tahun lagi dan berakhir pada 6 Dis, 2019.

Dalam kenyataan hari ini, SPNB berkata lanjutan kontrak itu telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

SPNB ialah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997, bagi memastikan penyediaan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Objektif Perumahan Negara.

Dalam tempoh dua tahun sebelum ini, Ahmad Azizi telah memacu transformasi SPNB dengan mengutamakan pencapaian kewangan tanpa mengenepikan aspek kecekapan dan ketepatan dalam membuat keputusan dalam proses perniagaan yang lain.

Fokus utama beliau ialah memantapkan strategi proses perniagaan yang memberi kesan secara terus kepada kedudukan kewangan syarikat seperti aktiviti jualan dan kutipan.

Hasilnya, nilai jualan Rumah Aspirasi Rakyat dan Rumah Idaman Rakyat untuk suku kedua tahun 2017 meningkat sebanyak 353 peratus berbanding suku kedua tahun 2016,” kata SPNB.

Katanya penyambungan kontrak Ahmad Azizi akan membolehkan beliau meneruskan perancangan perniagaan yang telah diatur di bawah anak-anak syarikat SPNB.

Ini termasuk yang terbaru diumumkan pada pembentangan Bajet 2018 iaitu pembinaan 20,000 unit Rumah Generasi Kedua Felda RMR-FELDA untuk generasi baharu FELDA.- BERNAMA