Menurut kertas pertuduhan, Muhamad Hafizi didakwa memiliki dua buah senjata api iaitu dua butir bom improvised explosive device (IED) di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh pada pukul 6.05 petang, 10 Oktober lalu.

KOTA BHARU – Seorang pelajar yang sepatunya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) esok mengaku bersalah memiliki dua butir bom di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Dua butir bom itu disyaki untuk digunakan dalam serangan terhadap The Better Beer Festival 2017 di ibu negara pada bulan lepas.

Tertuduh Muhamad Hafizi Mat Jusoh,19, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Remaja itu turut berdepan dengan empat pertuduhan lain kerana terlibat dalam kumpulan pengganas.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Menurut kertas pertuduhan, Muhamad Hafizi didakwa memiliki dua buah senjata api iaitu dua butir bom improvised explosive device (IED) di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh pada pukul 6.05 petang, 10 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api ( Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua lelaki, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24 , dan Mahadi Ibrahim, 34, yang turut dikatakan terlibat dalam rancangan serangan tersebut turut dihadapan ke mahkamah yang sama kerana terlibat dalam kumpulan pengganas.

Ahmad Azmi didakwa atas tiga pertuduhan manakala Mahadi dua pertuduhan.

Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Disember depan.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis menggagalkan rancangan serangan terhadap The Better Beer Festival 2017 dengan tertangkapnya tiga lelaki termasuk perancang utama, seorang pelajar tingkatan enam di Pasir Puteh, Kelantan, 10 Oktober lalu.

Pelajar yang dikatakan suspek utama itu bersama seorang bekas tentera, 34, dan kontraktor binaan, 25, dipercayai telah merangka serangan tersebut selepas menerima maklumat mengenai penganjuran festival arak tersebut yang dijadualkan berlangsung di Solaris Dutamas pada 6 Oktober lalu. – MalaysiaGazette