Ahmad Zahid Hamidi

KUCHING – Keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan Sarawak terserlah apabila ia menyediakan peruntukan RM1 billion dalam Bajet 2018 untuk membaiki sekolah daif, walaupun pada mulanya kerajaan negeri berhasrat menggunakan wang Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) untuk membiayainya terlebih dahulu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersetujuinya kerana beliau tidak mahu menggunakan wang DBOS bagi tujuan itu.

Terdahulu Ahmad Zahid berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg mengenai keperluan membaiki sekolah daif di Sarawak, dan semasa hasil mesyuarat dikemukakan, perdana menteri merasakan ia permohonan ‘bijak’ yang dicetuskan hasil keprihatinan kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya beliau seterusnya memberikan tempoh kira-kira dua minggu kepada Majlis Tindakan Ekonomi untuk mengkaji permohonan itu dan dalam tempoh yang begitu singkat peruntukan itu dimuktamadkan.

“Mana mungkin permintaan daripada wajah manis Ketua Menteri Sarawak Abang Jo (nama panggilan Ketua Menteri Sarawak) ditolak, saya tak fikir Abang Jo ada jampi untuk pastikan peruntukan ini diluluskan…tapi hasil cetusan idea pemimpin yang benar-benar ikhlas untuk bangunkan negeri, perdana menteri bersetuju dengan idea itu tanpa banyak soal, ” katanya semasa berucap di majlis Ekspresi Negaraku di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata,  apabila Sabah mendengar permohonan kerajaan negeri Sarawak, Sabah turut membuat permohonan sama, dan perdana menteri terus mempersetujuinya kerana ia adalah cadangan yang bijak.

Beliau berkata, ini membuktikan peruntukan kerajaan bukan hanya berkisar kepada bantuan untuk semenanjung sahaja, dan bukan soal ‘Sabah for Sabahan’ atau ‘Sarawak for Sarawakian’, tapi hasrat kerajaan adalah kesejahteraan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Katanya,  kesenangan, keharmonian dan kesejahteraan bukannya datang dari langit, tapi adalah hasil kepimpinan baik yang mendapat sokongan seluruh rakyat, diwarisi dan diperjuangkan bukan untuk masa tertentu sahaja, tetapi yang lebih penting adalah untuk dipupuk dan dipelihara selamanya.

“Program Ekspresi Negaraku hari ini adalah manifestasi kepedulian kerajaan kepada seluruh kaum, tanpa mengira bangsa, agama, atau warna kulit, dan ia bukan sekadar ucapan retorik, sebaliknya semua pelaksanaan (program-program pembangunan) kerajaan diusahakan dengan gigih untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette