Datuk Jailani Johari

KUALA LUMPUR – Sebanyak 56 kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana menyebarkan info palsu atas talian bagi tempoh Januari hingga 30 September tahun ini, kata Datuk Seri Jailani Johari.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, kertas siasatan tersebut dibuka daripada jumlah keseluruhan 146 kes yang dilaporkan kepada kementerian.

“Sebanyak 56 kertas siasatan telah dibuka dan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan dan selebihnya masih dalam siasatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Denda sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan turut boleh dikenakan.

Beliau menjawab soalan Dr. Ismail Daut (BN-Merbok) yang ingin tahu jumlah kes kesalahan bawah Akta 588 yang tercatat sepanjang tahun ini dan sama ada kerajaan bercadang untuk menambah baik akta itu.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan berpandangan undang-undang sedia ada bawah Akta 588 mencukupi bagi menangani kesalahan yang berlaku dalam industri komunikasi dan multimedia terutamanya berkaitan penyalahgunaan internet dan media sosial.

Jailani berkata sekiranya terdapat kekangan bidang kuasa oleh SKMM, tindakan sewajarnya masih boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada agensi penguatkuasaan yang lain.

Katanya, antara peruntukan undang-undang tersebut termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Fitnah 1957, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Jenayah Komputer 1997.

“Semua aduan yang diterima akan disusuli tindakan pihak SKMM, melibatkan tindakan penguatkuasaan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, notis amaran, nasihat, serta tindakan merujuk kepada agensi penguatkuasaan yang lain untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan,” kata beliau lagi. – MalaysiaGazette