KUALA LUMPUR – Dua produk tradisional Cina iaitu Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill dan Chong Cao Dan yang dipromosi mengandungi bahan herba yang boleh membantu melegakan sakit dan rasa kebas anggota badan serta melancarkan peredaran darah didapati tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Nor Hisham Abdullah berkata, produk Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill pernah berdaftar tetapi ditarik balik pendaftarannya pada bulan Januari 2017 kerana didapati mengandungi Dexamethasone.

Sepanjang tahun 2017 Bahagian Penguatkuasa Farmasi KKM telah membuat serbuan ke atas 2 premis kedai ubat tradisional Cina dan sebanyak 26 kotak produk Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill telah dirampas.

Menurut beliau. penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.

Jika sabit kesalahan, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Oleh kerana produk tersebut tidak berdaftar, kualiti dan keselamatan berkaitan penggunaan produk-produk ini tidak dapat dipastikan.

Sehubungan itu, para pengguna produk-produk ini dinasihatkan untuk tidak memberhentikan pengambilan produk ini secara mendadak dan segera untuk berjumpa dengan doktor.

Orang awam adalah digesa untuk tidak membeli produk-produk ini dan digalakkan untuk mengemukakan aduan serta menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan kepada pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk tidak berdaftar.

Nor Hisham juga meminta orang ramai sentiasa memastikan produk yang diguna adalah berdaftar di mana ia mempunyai pelekat keselamatan hologram dan dilabel dengan nombor pendaftaran yang sah.

Semakan status pendaftaran sesuatu produk pula boleh dibuat melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast