KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Bhd (MRT Corp) berjaya menganugerahkan semua pakej kerja pembinaan stesen bertingkat bagi laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) yang bernilai RM1.23 bilion.
MRT Corp dalam kenyataan hari ini berkata, pakej kerja bagi enam stesen bertingkat dianugerahkan pada mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Sehenti (OSPC) yang diadakan pada September dan Oktober baru-baru ini, dan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Semua pakej kerja stesen projek tersebut adalah subkontrak yang dipilih di bawah pakej jejambat masing-masing,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata penender yang berjaya dipilih berdasarkan penilaian tender terbaik, iaitu tender dinilai berdasarkan penilaian teknikal, komersial, perundangan, kewangan dan penilaian Program Kerjasama Industri.
Dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 September tahun lepas, fasa pertama laluan SSP akan mula beroperasi pada Julai 2021, dan dijangka siap pada Julai 2022. – MalaysiaGazette