Shahiruddin Ab Moin

KUANTAN – Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin dimasukkan ke Hospital Charing Cross di London selepas pengsan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata doktor mengesahkan keadaan Shahiruddin tidak membimbangkan dan beliau memerlukan rehat yang cukup.

“Doktor berkata Shahiruddin pengsan disebabkan dirinya terlalu letih ditambah dengan faktor perubahan cuaca memandangkan beliau sudah batuk semasa tiba di London. Keadaannya kini stabil dan boleh bercakap.

“Tetapi doktor memintanya untuk berehat. Tapi sekali lagi, keadaannya tidak serius dan beliau mungkin dibenarkan keluar selepas tiga atau empat hari,” katanya dari London semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mohd Sharkar menjelaskan gambar beliau bersama Shahiruddin yang tular di media sosial sebenarnya menunjukkan Shahiruddin sedang tidur semasa beliau datang melawat dan gambar itu diambil oleh orang lain yang turut berada di wad itu.

Sementara itu, menurut seorang adik kepada Shahiruddin, abangnya dimasukkan ke hospital di London akibat serangan angin ahmar.- BERNAMA