Tan Kok Wai

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai dibidas kerana tidak tahu tentang amaran awal bencana banjir yang dikeluarkan di Pulau Pinang apabila sengaja menunding jari kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah tidak berpuas hati dengan Kok Wai apabila mendakwa rakyat di negeri tersebut tidak bersedia menghadapi bencana tersebut kerana kementerian gagal memberikan amaran awal berhubung hujan lebat yang akan menimpa sehingga berlaku banjir besar.

“Kalau YB tidak tahu, jangan cakap bukan – bukan,” kata Abu Bakar selepas Kok Wai membidas kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Barisan Nasional Tangga Batu itu menjelaskan, MOSTI telah memberi amaran kuning seawal 1 November berhubung hujan lebat yang akan menimpa di negeri itu.

“Saya percaya YB Cheras hanya tahu berkenaan banjir di Pulau Pinang apabila membaca berita di media sahaja.

“Pihak MOSTI telah memasukkan amaran cuaca buruk melalui hebahan televisyen iaitu amaran kuning bermula 1 November lagi. Saya pasti YB Cheras tidak menonton tv.

“Kalau YB tidak tahu yang dimaksudkan dengan amaran kuning, boleh belajar dengan saya,” katanya.

Hujan lebat menimpa Pulau Pinang semalam menyebabkan seluruh negeri lumpuh apabila puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam.

Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 1 meter berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung dengan kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.

Beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di beberapa daerah di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette