Peter Anthony

KOTA KINABALU – Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony diminta hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pukul 8.30 pagi esok.

Peter berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pegawai SPRM Sabah ketika hadir di pejabat SPRM Sabah kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

“Pagi ini saya dipanggil (SPRM Sabah) untuk membantu siasatan tetapi saya tidak dimaklumkan apakah siasatan tersebut. Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh pegawai yang bertugas supaya hadir di ibu pejabat SPRM (Putrajaya) esok,” katanya kepada pemberita selepas kira-kira setengah jam berada di pejabat SPRM Sabah.

Menurut Peter, beliau juga belum mengetahui sebab beliau dipanggil ke ibu pejabat SPRM esok.

Pada 13 Okt lepas, Peter dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 selepas tamat tempoh tahanan remannya selama lima hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah.

— BERNAMA