Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bertanya khabar dengan salah seorang mangsa banjir yang cedera dikaki akibat kemalangan, Ng Teng Wei (kiri) ketika meluangkan masa melawat Pusat Penempatan Banjir di Pejabat Daerah & Tanah Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang. foto SAFWAN MANSOR, 07 NOVEMBER 2017.

BUKIT MERTAJAM – Seorang mangsa banjir berusia 43 tahun, Ng Teng Wei berkata beliau berterima kasih kepada Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang kerana membawanya ke tempat selamat.

Katanya, beliau, yang patah kaki sukar untuk keluar dari kediamannya.

“Keadaan kaki saya yang patah tidak mengizinkan saya untuk bergerak bebas macam orang lain.

“Saya terpaksa dibawa keluar oleh bomba pada jam 12.45 pagi Ahad lalu untuk dipindahkan ke pusat penempatan banjir,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Teng Wei lagi, isteri dan tiga anaknya kini berada di rumah untuk kerja-kerja pembersihan.

Malah katanya, beliau sudah dibenarkan pulang esok memandangkan banjir sudah surut di kawasan kediamannya.

“Semua barang rumah saya 90 peratus sudah rosak akibat banjir. Air naik mendadak dan saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa memandang keadaan saya begini. Hanya anak dan isteri yang mampu untuk selamat serba sedikit barang rumah,” jelas beliau.

Jurujual itu kini mendapatkan rawatan daripada doktor yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir.

Teng Wei antara lebih 200 mangsa banjir yang ditempatkan di Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah sejak Ahad lalu ekoran banjir yang melanda Pulau Pinang.

Beliau sebelum itu diziarah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. -MalaysiaGazette