KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana berjumlah RM500 juta untuk mengurangkan beban kewangan dan membantu memulihkan operasi perniagaan perusahaan kecil sederhana (PKS) di beberapa negeri di utara yang terjejas akibat banjir.

Dengan kemudahan ini, perniagaan yang terjejas boleh mendapatkan pembiayaan pada kadar yang lebih rendah daripada mana-mana bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.

Bank Pusat itu dalam kenyataan berkata, ia akan menyediakan jaminan sebanyak 60 peratus untuk pembiayaan yang diperoleh melalui Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

Ciri-ciri utama kemudahan ini ialah:

Disediakan untuk PKS milik warganegara Malaysia yang terjejas di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan bencana banjir;

Jumlah pembiayaan maksimum sebanyak RM500,000 bagi setiap kumpulan syarikat;

Pembiayaan adalah untuk tujuan pembaikan/ pembelian aset untuk menggantikan aset yang rosak akibat banjir, serta untuk modal kerja;

Kadar pembiayaan efektif ialah sehingga 2.25 peratus setahun; dan

Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun, dengan tempoh penangguhan bayaran balik selama enam bulan.

Perusahaan perniagaan yang memerlukan bantuan boleh mengemukakan permohonan kepada mana-mana institusi kewangan peserta. Kemudahan ini terbuka untuk permohonan mulai hari ini sehingga 31 Mei 2018.

Institusi kewangan juga telah memberikan komitmen untuk memberikan keutamaan tertinggi kepada semua permohonan bantuan daripada pelanggan yang terjejas akibat banjir.

Orang ramai boleh menghubungi terus pusat perhubungan pelanggan institusi kewangan mereka dan TELELINK Bank Negara Malaysia di talian 1-300-88-5465 untuk maklumat lanjut atau bantuan. – MalaysiaGazette