KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya menghentikan tindakan yang cuba membunuh watak melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang didakwa mempunyai skandal dengan seorang wanita.
Timbalan Perdana Menteri berkata, peluang harus diberikan kepada Dzulkifli untuk menjalankan tugas sebagai Ketua SPRM dan bersikap berlapang dada dalam menangani isu tersebut.
“Saya fikir beri lah peluang untuk beliau untuk berkhidmat sebagai Ketua SPRM bagi melakukan tindakan dan jangan lakukan pembunuhan perwatakan.
“Saya harap kita berlapang dada tentang perkara itu,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas pertanyaan diajukan Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo yang mendesak penjelasan sama ada individu dalam video yang sedang tular baru-baru ini adalah Dzulkifli atau pun bukan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak dapat memberi pengesahan kerana ia masih di peringkat siasatan.
“Saya tak dapat beri jawapan sekarang… kita telah serahkan kepada Peguam Negara melakukan sesuatu mengikut perundangan jika ada laporan polis dibuat.
“Berikan pertanggungjawaban kepada pihak berkuasa untuk melakukan sesuatu yang terbaik,” ujarnya.
Terdahulu tular sebuah video yang menunjukkan Dzulkifli dan seorang wanita yang sudah berkahwin berpegangan tangan dan menuju ke sebuah restoran di Bali, Indonesia.
Video berdurasi satu minit 40 saat itu dimuat naik di laman perkongsian video Youtube dengan pautan ke sebuah blog.
Tuduhan hubungan sulit itu timbul selepas seorang eksekutif jualan membuat laporan polis berhubung video yang dimuat naik ke Youtube.
Wanita yang turut dikaitkan dengan tuduhan itu sebelum ini berkata dia akan menerima kesalahan itu namun tidak akan mendedahkan punca perceraiannya. Dia juga berkata dia kini dalam tekanan untuk membersihkan semula namanya.
Penguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pula sudah mengumumkan pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan itu. – MalaysiaGazette