Jose Mourinho

LONDON – Legenda Chelsea mempertahankan taktik dan corak kejurulatihan yang dikendalikan Jose Mourinho sebagai Pengurus Manchester United di Old Trafford.

Frank Lampard berkata, Jose Mourinho bukan individu yang perlu dipersalahkan sekiranya the Red Devils gagal menjulang Piala Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Bekas pemain antarabangsa England itu yang pernah beraksi di bawah bimbangan jurulatih kelahiran Portugal tersebut berkata, tidak ada masalah pada kejurulatihan yang dilaksanakan bekas Pengurus Chelsea itu.

Mourinho sedang berdepan kritikan hebat mengenai gaya permainan skuad apabila gagal mengutip lapan mata penting setakat ini.

Manchester United kini berada di tangga kedua dalam carta liga dengan berkongsi 23 mata bersama Tottenham Hotspurs di tempat ketiga yang hanya dibezakan dengan jaringan gol.

Jirannya Manchester City mendahului carta dengan 31 mata setakat ini tanpa kalah.

Lampard yang menjulang tiga gelaran EPL di Stamford Bridge di bawah Mourinho berkata, kualiti pemain skuad yang perlu dipersalahkan sekiranya Manchester United gagal menang EPL.

“Jika Manchester United tidak menang kejuaraan EPL, bagi saya ia adalah disebabkan kualiti pemain itu sendiri bukan pengurus pasukan.

“Mourinho seorang pengurus yang suka menang selalu dengan cara tersendiri berbanding Pep Guardiola dan Antonio Conte.

“Manchester City mempunyai pasukan terkuat musim ini dan begitu juga dengan Chelsea.

“Jika lihat pada Red Devils mereka masih dalam zon untuk bergelar juara, tetapi bagi saya bukan masalah jurulatih,” katanya.

Krisis kecederaan beberapa tonggak utama memaksa Mourinho beraksi secara bertahan dalam empat perlawanan terakhir.

Mourinho setakat ini hanya menang sekali dalam empat aksi terakhir EPL manakala seri tanpa jaringan dengan Liverpool dan kalah kepada Chelsea (1-0) dan Huddersfield Town (2-1).- MalaysiaGazette