Datuk Seri Mah Siew Keong. foto HAZROL ZAINAL, 10 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) optimis memenangi lima kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Kiong berkata, sasaran itu realisitik berdasarkan kajian yang dijalankan parti itu membabitkan pengundi Cina dan umum di seluruh negara.

“Pada PRU14 kali ini kami ada keyakinan bahawa parti Gerakan akan memang lima DUN dan 12 Parlimen, itu sasaran paling realistik kami berdasarkan tinjauan dalam kalangan pengundi Cina.

“Pada PRU13 tahun 2013, Barisan Nasional hanya mendapat sokongan 15 peratus pengundi Cina, tetapi hasil tinjauan di seluruh negara mendapati sokongan (pengundi Cina) bertambah sekali ganda iaitu 30 peratus kepada BN.

“Malah persidangan perwakilan parti di setiap negeri baru-baru ini turut menunjukkan semangat dan tahap keyakinan dalam kalangan ahli dan pemimpin semua peringkat begitu tinggi dan bersedia untuk ‘bertempur’ dalam medan PRU14,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Majlis Ahli Seumur Hidup Gerakan 2017 di Menara PGRM Cheras di sini hari ini.

Pada PRU13, prestasi Gerakan merosot apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN sebelum menambah satu lagi kerusi Parlimen menerusi Siew Kiong di Teluk Intan dalam Pilihan Raya Kecil 31 Mei 2014.

Sementara itu, Siew Kiong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi membidas DAP yang memperkecil-kecilkan Gerakan dengan menyifatkan peningkatan sokongan pengundi itu sebagai ‘mimpi di siang’.

Katanya, DAP juga terlalu angkuh dan belagak kerana menyifatkan parti Gerakan sebagai parti ‘nyamuk’.

“Tidak mengapa dia menuduh Gerakan ini parti nyamuk kerana tidak mempunyai perwakilan pemimpin ramai dalam pertadbiran, walaupun keahlian kami sekadar 400,000 sahaja, kami masih relevan dan akan bangkit dengan mandat besar pada kali ini.

“Parti ini bakal menjangkau usia jubli emas 50 tahun penubuhan dalam dua bulan lagi dan jika lihat pada rekod parti ini, cemerlang dengan sumbangan yang begitu besar kepada BN dan sektor komoditi sejak zaman mantan Presiden Tun Dr. Lim Keng Yaik di peringkat negeri Pulau Pinang dan juga peringkat Pusat.

“Jadi tidak masuk akal jika ada pihak menggelar Gerakan sebagai parti nyamuk. Kami lagipun tidak mengambil peduli tapi kami serius mengikuti fakta dan perkembangan politik semasa negara dan bergerak ke arah transformasi itu.

“Saya yakin parti Gerakan akan memastikan perwakilan di peringkat negeri dengan mandat besar pengundi negara ini,” ujarnya.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu mengesahkan Majlis Tertinggi dan perlembagaan parti yang meluluskan pertambahan 50 lagi ahli seumur hidup, sekali gus menyaksikan jumlah ahli seumur hidup bertambah kepada 253 orang.

Beliau berkata, sumbangan dan pendapat ahli yang sudah menjangkau usia dan keahliannya lebih 50 tahun dalam parti penting untuk menggerakkan parti dengan menarik lebih ramai anggota pemuda sebagai langkah transformasikan kepimpinan tertinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast