Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Habitat Sedunia 2017 dan Majlis Penyampaian Watikah Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Negeri Johor di Puteri Harbour Iskandar Puteri.

JOHOR BAHRU – Pemberhentian atau kelulusan sesuatu projek pembangunan di tanah tinggi atau lereng bukit adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sekali gus kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, walaupun pihak kementerian ada mengeluarkan buku panduan pembangunan di kawasan itu, namun ada kerajaan negeri mempunyai panduan sendiri.

“Untuk makluman bahawa kementerian sudah keluarkan satu buku panduan pada 2009 – Garis Panduan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi dan kita dah bagi kepada semua negeri, ada buku panduan dan dah bagi bukan setakat surat pekeliling.

“Tapi ada negeri apabila dapat buku mereka ambil tapi mereka ubah suai ikut keadaan geografi negeri masing-masing dan mereka keluarkan garis panduan sendiri yang didakwa lebih baik daripada yang kita beri, seperti Pulau Pinang mereka tak ikut kita sebab ada garis panduan sendiri iaitu Safety Guideline for Hillside Development 2012.

“Jadi, nak berhenti ke nak mulakan kerja ke itu semua kuasa kerajaan negeri,” katanya selepas merasmikan Hari Habitat Sedunia dan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2017 dan Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Negeri Johor di Puteri Harbour di sini hari ini.

Tambahnya, dalam perkara itu, kementerian atau kerajaan pusat hanya ada kuasa memberi nasihat, menyediakan dasar atau membuat pekeliling berhubung pembangunan seumpama itu, namun sebarang pelaksanaan tertakluk kepada kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap semua kerajaan negeri dapat mematuhi garis panduan yang disediakan kerana apabila berlaku sebarang bencana ia bukan hanya melibatkan kerajaan negeri tetapi juga keranaan pusat.

“Dan bila bencana berlaku kita ketepikan fahaman politik sebab bagi kita yang penting adalah rakyat. Jadi untuk kurangkan itu kita tak boleh elak bencana tapi kita boleh ambil langkah-langkah pengurangan, lebih-lebih lagi bencana yang disebabkan kecuaian manusia itu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast