Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Seri Mah Siew Keong dan barisan kepimpinan tertinggi bersorak sambil mengangkat tangan sebagai tanda simbolik perasmian pada Persidangan Perwakilan Nasional 2017 ke-46 Gerakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan yang pernah menerajui Pulau Pinang selama hampir 39 tahun kini diyakini mampu merampas semula negeri tersebut daripada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin, keupayaan Gerakan dan Barisan Nasional (BN) mampu bangkit semula dan merampas Pulau Pinang.

“Sudah tiba masa untuk kita (BN) dan parti Gerakan yang banyak berjasa di Pulau Pinang untuk bangkit kembali merampas negeri ini.

“Mungkin kita teruji dan diasak hebat sehingga kalah pada PRU 12 dan 13 khasnya di negeri ini tetapi pada masa yang kita telah berjaya memperkasakan jentera kita untuk menghadapi pembangkang yang selama ini lebih banyak ‘bunyi daripada bekerja’.

“Segala janji yang kita taburkan kepada rakyat sudah tertunai sebanyak 87 peratus sementara 13 peratus lagi juga akan tertunai dalam jangka masa panjang. Kita tidak hanya bercakap sebaliknya menunaikan setiap janji ini.

“Rakyat nampak kesungguhan yang ditonjolkan oleh kerajaan BN. Rakyat akan hukum mana-mana parti dan pemimpinnya pada PRU akan datang,” ucapnya sebelum merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-46 di Menara PGRM di sini, hari ini.

Menurut Zahid Hamidi, ‘kecundangan’ yang dialami oleh Gerakan sebelum ini hanya sementara kerana rata-rata rakyat sudah bangkit dan celik siapa sebenarnya ikhlas dan siapa yang mempolitikkan isu.

“Saya amat berharap semua calon DUN (Dewan Undangan Negeri) dan kerusi Parlimen Gerakan akan memang dengan cemerlang dalam PRU-14 nanti.

“Kita akan naik semula. Saya yakin. Gerakan tidak akan kecundang selamanya. Ketika ini, saya berharap parti ini akan berjuang sehabis baik termasuk menggunakan media sosial bagi melawan pembangkang yang ternyata bijak memanupulasi,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN turut membidas pembangkang yang mempolitikan setiap isu untuk mengaburi rakyat.

“Baru-baru ini, ketika bencana banjir, kita tidak politikkan isu tersebut. Kita tidak gunakan kesempatan itu menjatuhkan pembangkang. Tidak semua isu kita boleh politikkan.

“Kita buta warna, kita hanya mahu membantu kerana rakyat Malaysia memerlukan bantuan bukan melihat rakyat Pulau Pinang yang diterajui oleh kerajaan DAP yang lantang mengkritik kita. Nilai kemanusian kita lebih tinggi,” ujarnya.- MalaysiaGazette