Home Ekonomi 20,807 kediaman siap tapi tak terjual

20,807 kediaman siap tapi tak terjual

PUTRAJAYA – Unit kediaman siap dibina yang tidak terjual meningkat 40 peratus kepada 20,807 unit bernilai RM12.26 bilion pada separuh pertama 2017 berbanding tempoh yang sama 2016, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong.

“Kondominium  dan pangsapuri berharga lebih RM500,000 mendominasi kediaman (siap dibina) yang terjual dalam negara,” katanya ketika berucap pada majlis taklimat Pasaran Awalan Harta Tanah 2017 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau berkata, lokasi dan harga kediaman turut menjadi faktor kepada masalah tidak terjual.

“Di Kuala Lumpur, kediaman berharga RM300,000 dianggap mampu milik tetapi perkara ini mungkin berbeza mengikut negeri,” katanya.

Justeru itu, Lee menyarankan pihak berkuasa tempatan membuat kajian pasaran menggunakan statistik dan petunjuk pasaran harta tanah yang diterbitkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di bawah Kementerian Kewangan sebelum mempertimbangkan kelulusan pembangunan harta tanah.

“Saranan yang sama juga diberikan kepada pemaju harta tanah supaya keputusan yang tepat dapat dibuat bagi menjamin kelestarian pasaran harta tanah negara,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, terdapat sebanyak 68,000 unit kediaman mula dibina ​​​​​​​pada separuh pertama 2017, meningkat 16 peratus berbanding jumlah yang dicatatkan pada separuh ​​​​​​​pertama 2016.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh unit strata yang kebanyakannya terletak di Kuala Lumpur. Kenaikan 16 peratus dalam projek permulaan harta tanah ini memberi petanda bahawa terdapat keyakinan terhadap ekonomi negara, jika tidak, mereka (pemaju perumahan) tidak akan memulakan projek berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette