Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk membatalkan sepina yang dikemukakan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dalam satu kes saman.

Jamal mengemukakan sepina itu supaya Mohamad Fuzi menjadi saksi dalam perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan aktivis Maria Chin Abdullah terhadapnya atas dakwaan mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas Daesh.

Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan KPN itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mewakili Mohamad Fuzi dan peguam V. Mugunthan bertindak bagi pihak Jamal.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Maria.

Ahmad Terrirudin ketika ditemui pemberita berkata mahkamah membenarkan permohonan Mohamad Fuzi atas alasan anak guamnya, yang ketika itu merupakan Pengarah Cawangan Khas tidak mempunyai pengetahuan berhubung penahanan Maria mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu, Mugunthan berkata perbicaraan kes saman tersebut yang ditetapkan sebelum ini pada 15 Jan depan turut dikekalkan dan pihaknya juga akan mendapatkan arahan daripada anak guam (Jamal) sama ada ingin mengemukakan rayuan ataupun tidak berhubung keputusan hari ini.

Selain Mohamad Fuzi, Jamal turut mengemukakan sepina terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ruslan Abdullah.

Jamal juga akan memanggil aktivis pembangkang, Hishamuddin Md Rais dan mengemukakan sepina terhadap peguam Hasan Karim, yang pernah menjadi aktivis pelajar pada 1970-an iaitu Ketua Kelab Sosialis Universiti Malaya (UM).

Pada 7 Okt tahun lepas, Maria, 60, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyaman Jamal yang merupakan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM) selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Maria selaku plaintif mendakwa pada 28 Sept 2016, Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dan telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Plaintif juga mendakwa pada 4 Okt tahun lepas, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Okt di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Beliau menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.

— BERNAMA