Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim membidas pembangkang yang meminta peruntukan tambahan RM2 bilion untuk membantu mangsa banjir Pulau Pinang baru-baru ini tetapi mereka pula menentang Bajet 2018 semalam.

Shahidan menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang bertanya sama ada Kerajaan Pusat akan meluluskan peruntukan simpanan luar jangka RM2 bilion yang sama seperti 2015 lalu kepada dua negeri Kelantan dan Terengganu yang menghadapi banjir besar ketika itu.

“Saya berterima kasih kepada YB memohon bantuan luar jangka, tapi kenapa YB tidak sokong bajet semalam? Bukan sahaja menentang, tapi minta belah bahagi undi,” sindir Shahidan kepada Tze Tzin.

Shahidan kemudiaan menafikan kenyataan Tze Tzin yang mengatakan bantuan sebanyak RM2 bilion diluluskan kepada dua negeri tersebut, sebaliknya menjelaskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya terlibat membaiki rumah mangsa banjir sahaja.

“Kenyataan Terengganu dan Kelantan mendapat RM2 bilion dan sebagainya itu tak benar.

“Kami NADMA hanya terlibat baiki rumah semasa banjir besar melanda negara yang melibatkan 600,000 mangsa… itu terbesar dalam sejarah dan YB tidak akan jumpa 100 tahun lagi dan itu sahaja sahaja kita beri,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Shahidan melahirkan kekesalannya dengan tindakan ahli-ahli Parlimen daripada blok pembangkang yang menentang Bajet 2018 dan menyifatkan ia pada masa sama menunjukkan mereka tidak ambil berat terhadapi mangsa banjir.

“Saya kesal sesungguhnya sebab ahli parlimen pembangkang menantang bajet semalam termasuk untuk membantu mangsa banjir, jadi mangsa banjir tak dpt sokongan daripada pembangkang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast