Home Nasional 4 sekeluarga rentung

4 sekeluarga rentung

GEORGETOWN – Empat dipercayai sekeluarga termasuk dua kanak-kanak ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran rumah jenis kluster dua tingkat di Pintasan Cecil 5, Pengkalan Weld, di sini awal pagi ini.

Tiga mayat terdiri daripada dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan ditemukan di ruang tamu manakala seorang kanak-kanak lelaki di bahagian atas rumah itu.

Semua mangsa berusia lapan hingga 62 tahun, namun identiti masih belum dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba Lebuh Pantai, Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.08 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira sembilan minit kemudian.

“Ketika pihak bomba tiba, api sedang marak dan kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan. Api berjaya dipadamkan sepenuhkan 7.10 pagi,” katanya di sini hari ini.

Mohd Rozairi berkata, pihak bomba menemukan empat mayat yang masih belum dikenal pasti identiti itu dalam keadaan rentung, selepas membuat pemeriksaan dalam rumah berkenaan.

“Semua mangsa dipercayai terperangkap dan gagal keluar kerana api marak dengan cepat, lagipun rumah itu hanya mempunyai satu pintu sahaja untuk masuk serta keluar,” katanya.

Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette