Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapha Mohamed bergambar kenangan bersama pelajar pada Program Rancangan Memajukan Kelantan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 15 NOVEMBER 2017

BANGI – Seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melontarkan idea agar tambang bas dari institut pengajian awam itu ke Kota Bharu dicaj RM20 sahaja pada masa akan datang.

Idea yang dicadangkan oleh Khairul Azhar Kamaruzaman yang juga Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) berdasarkan faktor mahasiswa UKM paling ramai berasal dari Kelantan.

Tambang bas ketika ini dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu berharga sekitar RM45 hingga RM50 sama ada dari Putrajaya atau Kajang.

Bagaimanapun diskaun diberikan kepada mahasiswa yang menjadi ahli HIMSAK.

“Saya juga ingin mencadangkan agar terdapat satu syarikat korporat khas mengawalselia kebersihan memandangkan tahap kesedaran rakyat negeri itu masih rendah.

“Pada masa sama, pengangkutan awam di Kota Bharu mengenai bas henti-henti yang lambat dan perlu penambahbaikan pada masa akan datang jika ingin menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan,” kata Khairul Azhar yang merupakan mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Sains Politik.

Presiden Himsak UKM, Khairul Azhar Kamaruzaman pada Majlis Perasmian Program Rancangan Memajukan Kelantan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 15 NOVEMBER 2017

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Majlis Memajukan Kelantan bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri malam tadi.

Majlis turut menyaksikan HIMSAK dilancarkan secara rasmi yang turut dihadiri Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali.

Sementara itu, Mustapa turut menjelaskan, Parlimen Jeli di bawahnya sentiasa mengadakan program kesedaran bersama masyarakat Orang Asli yang melibatkan doktor dan jururawat.

Beliau turut menerangkan kokurikulum baharu sekolah-sekolah agama di Kelantan sedang dirangka agar lepasan pelajarnya menjadi lebih seimbang dan serba boleh pada masa depan.

Pada masa sama, Mustapa memberitahu, Kelantan telah menerima peruntukan RM12.8 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Jelas beliau, ia melibatkan projek Program Tebatan Banjir, pembesaran Lapangan Terbang, UTC, pembinaan Universiti Malaysia Kelantan Kampus Induk Bachok dan Kota Bharu serta Kolej Matrikulasi Kok Lanas.

“Jadi, kalau ada mengatakan Kelantan adalah anak tiri, itu semua fitnah belaka. Itu belum lagi lebuhraya yang akan dibina nanti.

“Kelantan juta negeri keenam mendapat bantuan tertinggi dari Kerajaan Persekutuan ekoran faktor kewangan kerajaan negeri terhad.

“Selain itu, kerajaan juga membina Bantuan Rumah Kekal (mangsa banjir 2014) dan  Projek Perumahan Rakyat serta ECRL,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast