PUTRAJAYA – Sanggup berkampung seawal jam 3 pagi demi mendapatkan lokasi terbaik bagi menyaksikan suasana Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 secara langsung di Dataran Putrajaya.
Bukan itu sahaja, tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati ada yang sanggup memasang khemah dan menggunakan kerusi ‘healing’ untuk berehat di kawasan sekitar bagi menanti acara berkenaan.

Bagi Haminuddin Muhamad, 46, dia bersama keluarga yang berasal dari Johor Baharu sanggup bermalam di Putrajaya dan tidak pernah gagal menyaksikan acara perarakan pada Hari Kebangsaan.
“Kami sudah datang ke sini sejak jam 3 pagi lagi dan suasana sangat penuh, tapi keselamatan memang terbaik, cuaca pun Alhamdulilah.
“Boleh dikatakan setiap tahun saya akan bawa anak seawal pagi untuk menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan agar mereka memahami apa erti kemerdekaan dan melihat aset negara kita.
“Alhamdulilah, masyarakat kita bersatu padu, Malaysia is the best,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi Amirah Nasihah Azmi, 34, berkata, dia terpaksa bangun awal pagi demi menemani kakaknya yang merupakan guru kepada kumpulan ‘grafik manusia’ pada sambutan Hari Kebangsaaan kali ini.
Pada masa sama katanya, ia merupakan pengalaman pertama kali melihat secara langsung acara berkenaan termasuk perarakan aset negara yang sebelum ini hanya ditonton di televisyen.
“Saya tiba di sini jam 4.30 pagi tadi untuk melihat Hari Kemerdekaan dan menemani kakak sebagai guru human graphic untuk pelajarnya iatu Sekolah Menengah Setia Alam.
“Saya lihat kakak saya dan anak-anak sekolahnya melakukan persiapan ini lebih dua bulan dan ini pengalaman pertamanya, memang dia sibuk hingga terpaksa keluar seawal jam 3 pagi setiap hari.
“Apa saya faham erti merdeka, kita perlu syukur sebab negara kita sudah merdeka selama 69 tahun dan negara kita aman damai dan tiada rusuhan,” ujarnya.

Sementara itu, penjawat awam, Sahrizan Abd Rahim, 40, berkata, sambutan Hari Kebangsaan 2026 adalah penting baginya bersama anak-anak untuk menyemai semangat cinta pada negara.
“Ini sudah menjadi rutin kami sekeluarga setiap tahun untuk menyertai sambutan Hari Kebangsaan dan sebenarnya kami menantikan pertunjukkn anak-anak di pentas.
“Jadi seawal jam 6.30 pagi kami tiba di sini dengan pilih ‘port baik’ untuk lihat acara ini dekat pentas utama selain melihat aset negara secara dekat.
“Jujurnya saya hadir di sini untuk terapkan kepada anak-anak supaya cinta akan negara walaupun tahun ini wujud berbagai-bagai isu.
“Saya juga harap merdeka kali ini dapat memerdekakan semua khususnya untuk anak-anak kita pada masa akan datang,” jelasnya.

Bagi R. Sivanesan, 37, yang datang bersama keluarganya dari Puchong, Selangor berkata, pengalaman menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan secara langsung buat kali pertama turut menyemai semangat patriotisme dalam dirinya dan keluarga.
“Ini kali pertama saya berkunjung ke sini dan bertolak seawal jam 7 pagi dari Puchong bersama keluarga. Memang meriah dan kami mahu melihat aset negara sebab ayah saya dulu seorang tentera.
“Bagi saya untuk Hari Kemerdekaan ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah bertolak ansur dan memahami antara satu sama lain walaupun berbeza bangsa,” luahnya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dengan tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” membuka tirai di Dataran Putrajaya pagi ini dengan pelbagai acara menarik bagi menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan rakyat terhadap negara.
Acara perarakan dan perbarisan melibatkan seramai 10,819 peserta daripada 77 kontinjen, selain menampilkan 328 aset, 22 kenderaan elektrik (EV), 112 aset hidup, 22 pasukan pancaragam dan 11 kereta berhias. – MalaysiaGazette
















