Menurut Lim Guan Eng, senarai calon DAP adalah muktamad sama seperti diumumkan parti itu minggu lalu sekali gus menafikan beliau akan bertukar ke kerusi Tanjung Bungah untuk berdepan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow.
Menurut Lim Guang Eng, senarai calon DAP adalah muktamad sama seperti diumumkan parti itu minggu lalu sekali gus menafikan beliau akan bertukar ke kerusi Tanjung Bungah untuk berdepan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow.

KUALA LUMPUR – Menjawab mengenai kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Surayati Ibrahim semalam yang mendedahkan DAP masih gagal mengemukakan laporan lengkap Pemilihan Jawatankuasa Pusat (CEC), Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata parti itu masih mempunyai tempoh untuk berbuat demikian.

Bercakap dalam satu kenyataan hari ini, Guan Eng berkata parti itu masih menunggu laporan penuh mengenai pemilihan CEC daripada firma audit bebas yang dilantik ketika pemilihan itu buat minggu lalu.

“DAP mempunyai 60 hari untuk menyerahkan laporan kepada JPPM dan kita masih menunggu laporan daripada Grant Thornton kerana mereka diarahkan JPPM untuk menjalankan pemilihan semula itu,” jelas Guan Eng.

Surayati semalam dalam satu sidang media berkata badan itu masih gagal memperoleh laporan penuh mengenai proses pemilihan CEC DAP biarpun sudah seminggu pemilihan itu mengambil tempat.

Menjawab mengenai itu, Guan Eng berkata DAP akan berbuat demikian setelah memperoleh laporan penuh daripada Grant Thornton.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mengesahkan bahawa Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh bertindak menolak pelantikan beliau dalam CEC.

“Hannah Yeoh yang juga speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, dilantik menganggotai CEC pada mesyuarat pertama 12 November 2017, tetapi sejak itu beliau menolak pelantikan itu.

“Hasilnya, CEC dalam mesyuarat berikutnya pada 15 November melantik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan ADUN Perai, P Ramasamy sebagai ahli biasa CEC,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.