LENGGONG – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sedia meneruskan kerjasama dengan Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan modal insan seimbang dari segi rohani serta jasmani.

Ketua Pengarahnya, Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin berkata, negara memerlukan tenaga kemahiran yang sangat tinggi dan Malaysia perlu mewujudkan garis panduan sendiri dan tidak mengikut panduan dari barat.

“Banyak orang salah faham dan masyarakat boleh berubah sikap dan nilai melalui agama, oleh kerana itu kita jangan mengikut barat.

“Dalam prinsip Maqasid Syariah untuk mencipta kejayaan di dunia hendaklah kita mengimbangi ilmu al-Quran dan hadis sebagai pedoman,” katanya kepada Bernama pada program Al Islam Jamil Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Institut Industri Mara-Jepun (MJII) dan Insitut Kemahiran Mara (IKM) di KKTM di sini, Sabtu malam.

Kira-kira 150 pelajar dari KKTM, MJII dan IKM dari seluruh negara menyertai program empat hari itu yang bermula sejak 16 November lalu.

Program itu menggabungkan modul-modul latihan yang praktikal sesuai dengan kehidupan harian seorang belia yang dinamik, praktikal dan profesional.

Azizan berkata, program tersebut bertujuan menghimpunkan pelajar KKTM, MJII dan IKM dalam satu wacana ilmu bagi membangunkan modal insan berkonsepkan gerak kerja amal Islam dan kerohanian.

Selain itu katanya program tersebut juga untuk meningkatkan amalan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah dalam segala urusan kehidupan.

“Meningkatkan ilmu pengetahuan dan komitmen pelajar terhadap tanggungjawab beragama dan hidup bermasyarakat.

“Memantapkan pegangan akidah, keaungguhan beribadat dan ketinggian akhlak dalam kalangan pelajar serta membimbing pelajar ke arah semangat persaudaraan Islam yang jitu,” katanya.

Menurut Azizan kerajaan meletakkan harapan tinggi kepada generasi muda sebagai modal insan untuk meneruskan kepimpinan negara pada masa depan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast