Tan Kok Wai

PUTRAJAYA – DAP menjadi salah satu sebab kenapa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak mahu meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) membabitkan gabungan parti itu, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN).

Menyedari hakikat itu, parti itu hari ini akur dengan tuntutan RoS bagi menyegerakan proses kelulusan PH.

Pengerusinya, Tan Kok Wai berkata, partinya akan menyegerakan laporan Kongres Khas DAP yang menguruskan Pemilihan Semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 12 November lalu di Shah Alam.

Menurut pengerusi DAP itu, tanggungjawab menyediakan laporan mengenai kongres khas parti itu dilakukan syarikat audit yang dilantik parti tersebut.

“Syarikat Audit (Grant Thornton) yang dilantik DAP akan menguruskan serta menyediakan laporan itu.

“Di bawah Akta Pertubuhan 1966, kita mempunyai tempoh 60 hari untuk mengemukakan laporan kongres khas.

“Sekarang baru 8 hari berlalu sejak pemilihan semula pada 12 November lalu,” katanya kepada pemberita di Pondok Pengawal Keselamatan di pekarangan Kementerian Dalan Negeri (KDN) hari ini.

Beliau merupakan antara pemimpin parti pembangkang yang Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke KDN untuk mendapatkan penjelaan mengenai mengenai kelewatan pendaftaran PH.

Mengulas lanjut, Kok Wai berkata, sebagai menyegerakan proses kelulusan pendaftaran PH, DAP akan meminta syarikat auditnya melengkapkan semua laporan berkaitan dengan segera untuk dikemukakan kepada RoS.

“Saya difahamkan syarikat audit itu akan menyiapkan semua laporan secepat mungkin, saya berharap hujung minggu ini laporan itu dapat dikemukakan kepada RoS.

“DAP akan meminta syarikat audit itu menyegerakan laporan dan kemukakan kepada RoS dengan kadar secepat mungkin,” tambah beliau.

Pada pemilihan semula CEC yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengekalkan jawatan setiausaha agung parti manakala penasihat DAP, Lim Kit Siang menerima undi tertinggi sebanyak 1,199 undi. – MalaysiaGazette