Datuk Nik Mazian Nik Mohamad

KUALA LUMPUR – Enam Ahli Parlimen Pas yang tidak bersetuju dengan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018, oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata langkah mereka berbuat demikian kerana enggan menerima kenaikan harga barang yang meningkat saban hari.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Mazian Nik Mohamad, keputusan itu dibuat atas kapasiti mereka sebagai Ahli Parlimen dan bukannya atas perintah parti.

“Kami mengundi mengikut kesedaran kami. Kami tidak mengadakan mesyuarat. Jadi kami menentang kenaikan harga barang,” katanya ketika ditemui media di Parlimen.

Beliau adalah antara enam Ahli Parlimen Pas yang mengundi tidak bersetuju dengan rang undang-undang tersebut.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat pentadbiran bagi KPDNKK.

Hasil undian berakhir dengan proses undi belah bahagian yang dijalankan mengikut peraturan.

Kekecohan itu ditimbulkan sejurus selepas Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Kekecohan timbul apabila undi mendapati 52 ahli parlimen bersetuju manalaka 51 ahli Parlimen termasuk enam ahli Parlimen Pas tidak bersetuju dengan rang undang-undang berkenaan.

Dua lagi yang tidak bersetuju adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad daripada Pas. -MalaysiaGazette