Foto Facebook Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

KUALA LUMPUR – Satu lagi slot ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 kembali menjadi kontroversi selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menolak tawaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan Kedah pada kejohanan tersebut.

PBNP dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini berkata, tawaran itu ditolak kerana mereka mahu memberikan sepenuh perhatian kepada Liga Malaysia musim depan.

“PBNP ingin menjelaskan bahawa kami ditawarkan menyertai kejohanan Piala AFC 2018 melalui surat FAM bertarikh 9 November 2017.

“Bagaimanapun, PBNP menolak untuk menyertai kejohanan itu melalui surat bertarikh 14 November lalu,” jelas kenyataan tersebut.

PBNP dikatakan bakal menggantikan Kedah yang juga juara Piala FA selepas kegagalan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melepasi syarat pelesenan ditetapkan AFC.

Pahang antara empat pasukan selain JDT, Selangor dan PKNS FC yang lulus dalam permohonan mendapatkan lesen AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018, jika layak.

Pada aksi Liga Super musim lalu, Pahang menduduki tangga kedua, ketinggalan sembilan mata di belakang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Berdasarkan rekod hanya tinggal pasukan Selangor yang mempunyai lesen AFC selain JDT, Pahang dan PKNS FC. – MalaysiaGazette