S. Subramaniam menandatangi plak pelancaran Pusat Penyelidikan Klinikal Sunway di Petaling Jaya.

PETALING JAYA – Universiti Sunway dan Universiti Cambridge memeterai beberapa perjanjian kerjasama dalam bidang penyelidikan perubatan.

Kerjasama itu bakal menyaksikan Pusat Perubatan Sunway menubuhkan Pusat Penyelidikan Klinikal Sunway dengan peruntukan sebanyak RM27.5 juta.

Pusat perubatan itu akan menjadi rakan serantau kepada University of Cambridge School of Clinical Medicine.

Pengerusi dan Pengasas Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah berkata, jalinan kerjasama itu membuktikan komitmen pihaknya untuk mengecapi kejayaan dalam bidang bio perubatan khususnya sel stem.

“Di Sunway kami serius untuk meningkatkan standard dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan dengan menyediakan perkhidmatan terbaik bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi untuk 630 juta komuniti rantau ASEAN,” katanya hari ini.

Perjanjian antara kedua-dua institusi itu disaksikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang turut merasmikan Simposium Bioperubatan Cambridge-Oxford-Sunway kali kedua bertajuk ‘Stem Cells: From Biology to Therapy’.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Cambridge, Profesor Dr. Stephen Toope berkata, perjanjian dengan Yayasan Jeffrey Cheah dan Pusat Perubatan Sunway membuka lembaran baharu ke arah menghadapi cabaran utama dalam perkembangan sains perubatan.

Pusat perubatan berkenaan akan membabitkan pakar dan penyelidik sains kedua-dua insitusi itu bekerjasama merentasi sempadan untuk meneroka cabaran kesihatan sedunia dan standard kesihatan di Malaysia dan Asia.

“Dengan kerjasama Universiti Cambridge, Pusat Penyelidikan Klinikal Sunway akan membangunkan pendekatan berintegrasi dalam sektor kesihatan, ujian makmal dan penyelidikan di Malaysia berfokuskan kepada pecegahan awal, pengesanan penyakit peringkat awal dan rawatan yang berkesan yang bersesuaian dan sebati dengan komposisi genetik komuniti Asia,” tambah beliau. – MalaysiaGazette