TOULOUSE – Airbus SE merancang untuk membangunkan pesawat tanpa pemandu dan teknologi yang membolehkan hanya seorang juruterbang mengendalikan kapal terbang dalam usaha membantu syarikat penerbangan mengurangkan kos.
Ketua Pegawai Teknologinya, Paul Eremenko berkata, pendekatan disruptif itu diperlukan untuk mengurangkan penggantungan kepada krew dalam sesebuah penerbangan pada masa hadapan.
“Kami akan meneruskan operasi juruterbang tunggal sebagai satu pilihan berpotensi dan banyak teknologi yang diperlukan untuk merealisasikannya,” katanya dalam satu temubual dengan Bloomberg Television hari ini.
Pengeluar kapal terbang termasuk Airbus dan Boeing Co sedang berlumba-lumba untuk membangunkan artificial intelligence yang suatu hari nanti membolehkan komputer untuk menerbangkan pesawat tanpa perlu kawalan manusia.
Menjadikan idea tersebut sebagai realiti bukan mudah apabila sudah menjadi kebiasaan industri untuk memiliki dua juruterbang bagi mengendalikan pesawat komersial sejak berdekad-dekad lalu.
Apatah lagi selepas pesawat A320 milik Germanwings yang diterbangkan oleh seorang juruterbang terhempas pada 2015 dan telah mengorbankan 150 orang mangsa.
Ini menyebabkan banyak syarikat penerbangan di dunia yang mewajibkan sekurang-kurangnya terdapat dua orang di dalam kokpit pada satu-satu masa.
Penganalisis juga melihat idea ini sukar untuk dijelmakan.
“Orang sekarang memang berminat dengan idea-idea sebegini.
“Kita sudah ada kereta tanpa pemandu, bas tanpa pemandu tetapi sesuatu yang boleh terbang adalah berbeza,” kata Shukor Yusof, pengasas firma perundingan penerbangan, Endau Analytics dari Malaysia.
Airbus sendiri mempunyai jabatan yang digelar Mobiliti Udara Urban yang meneroka teknologi penggunaan helikopter atas permintaan sehinggalah dron untuk perkhidmatan penghantaran.
Manakala Boeing pada bulan lalu telah membeli sebuah syarikat yang membangunkan “teksi terbang” untuk Uber Technologies Inc.
Ia juga telah membeli syarikat penerbangan hibrid-elektrik.-MalaysiaGazette