KOTA BHARU – Anak lelaki Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa melantik lima peguam untuk mewakilinya yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 20 gram, pada Sabtu lalu.

Pasukan peguam yang mewakili Ahmad Syafi, 29, itu diketuai oleh Firdaus Mohd. Yusuf.

Empat lagi peguam ialah Mohd. Yusoff Yakob, Mohd. Ridzuan Muhamad, Ahmad Nuri Abd. Rahman dan Wan Abdullah Sani Wan Yusuf.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Syafi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 20 gram di sebuah rumah di Lot 409, Jalan Pasir Mas Salor, Kampung Jelutong di sini pada pukul 3.30 petang, 18 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Shahirun Azri Mohd. Nordin yang mengendalikan kes pendakwaan menawarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun Firdaus memohon memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM8,000 dengan seorang penjamin atas alasan ini merupakan kesalahan pertama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh menjelaskan jaminan tersebut dan sebutan semula kes pada 14 Januari tahun depan.

Sebelum ini, media melaporkan anggota polis terpaksa bergelut sebelum berjaya menahan Ahmad Syafi yang cuba untuk melarikan diri semasa serbuan dilakukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu kira-kira pukul 3.30 petang Sabtu lalu.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pihak polis dikatakan menemukan 200 biji pil kuda pada tertuduh. – MalaysiaGazette