KUALA LUMPUR – Pertambahan kuota seorang lagi pemain import dari ASEAN bagi setiap pasukan Liga Super bermula 2018 hingga 2022 dianggap tidak sihat untuk masa depan bola sepak Malaysia.
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mempertikaikan dasar baharu itu kerana ia hanya memberi kelebihan kepada pasukan ‘kaya’ manakala pasukan ‘miskin’ terus tertekan.
“Ini bermakna daripada 10 pemain berlari atas padang hanya lima pemain tempatan beraksi. Tiga daripadanya mungkin pemain pertahanan… yang lain terutama bahagian serangan akan di dominasi pemain import.
“Saya tidak pasti apakah dasar baru ini sudah diluluskan badan induk dan dipersetuju badan gabungan atau Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) begitu berkuasa melaksanakan segala-galanya,” kata Annuar dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.
Tegas Annuar, dengan dasar baharu itu, ruang pemain tempatan semakin sempit manakala kos mengendali pasukan Liga Super turut meningkat naik.
Malah katanya, jurang antara pasukan kaya dengan miskin semakin luas.
“Financial Fair Play juga semakin jauh dari Liga Super nampaknya,” katanya Annuar.
Isnin lalu, FMLLP dalam satu kenyataan memperkenalkan penggunaan kuota seorang pemain ASEAN bagi setiap pasukan Liga Super bermula musim depan.
Jelas kenyataan itu, Liga Super masih dibenarkan menggunakan kuota tiga orang pemain import serta seorang pemain kuota Asia yang diperkenalkan sebelum ini, sekali gus menjadikan setiap pasukan boleh menggunakan lima pemain import pada setiap perlawanan.
“Pemain dari negara Asia Tenggara atau ASEAN tersebut hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai 30 penampilan antarabangsa untuk pasukan utama negara terlibat.
“Ia perlu dibuktikan dengan mengemukakan surat rasmi dari persatuan bola sepak negara yang mana pemain tersebut bermain,” jelas kenyataan tersebut.
FMLLP menjelaskan sekiranya pemain kuota ASEAN berkenaan kurang daripada 30 penampilan antarabangsa, pasukan terlibat boleh memohon pengecualian namun keputusan akhir adalah muktamad dan tertakluk kepada budi bicara FMLLP. – MalaysiaGazette