Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (kanan) serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) , Datuk Ahmad Maslan (kiri) semasa majlis pelancaran Misi Kemanusiaan Rohingya Makanan Halal Ahli Parlimen Malaysia di pekarangan Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Misi Kemanusiaan Rohingya Makanan Halal Ahli Parlimen Malaysia di pekarangan Parlimen hari ini.

Beliau berkata, misi kemanusiaan itu merupakan inisiatif daripada 12 ahli Parlimen Malaysia yang mewakili kerajaan dan pembangkang sebagai tanda sokongan kepada kerajaan terhadap kesengsaraan etnik muslim Rohingya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua syarikat multinasional terlibat yang tampil membantu menyumbang barangan keperluan asas bagi meringankan nasib penderitaan etnik Rohingya di Bangladesh,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan misi kemanusiaan itu di pekarangan Parlimen, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (kanan) serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) , Datuk Ahmad Maslan (kiri) semasa majlis pelancaran Misi Kemanusiaan Rohingya Makanan Halal Ahli Parlimen Malaysia di pekarangan Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang mewakili ahli Parlimen Malaysia dalam misi kemanusiaan itu berkata, sebanyak 20 tan makanan halal akan disalurkan kepada pelarian Rohingya.

“Jumaat ini kita akan bertolak ke Chicago, Bangladesh menuju ke khemah Cox’s Bazar untuk melihat keadaan khemah pelarian Rohingya di Bangladesh.

“Barangan makanan sebanyak 20 tan ini akan diserahkan kepada NGO-NGO Malaysia yang beroperasi di sana untuk memberikan bantuan kepada etnik Rohingnya di sana,” katanya.

Katanya lagi, misi kemanusiaan ahli Parlimen Malaysia diharapkan dapat mencetuskan kesedaran kepada pemimpin dan masyarakat antarabangsa terhadap kesengsaraan mangsa kekejaman rejim tentera Myanmar.

“Kita harapkan lebih ramai pemimpin dan negara luar yang dapat membantu meringankan kesengsaraan yang dihadapi oleh orang Rohingya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.